Menurut Mohd. Afify Abdullah, 34, dia tidak menyangka kejayaannya menaikkan sebayak dua kali ikan pacu yang masing-masing bersaiz 1.24 kilogram (kg) dan 1.2 kg dalam tempoh kurang 10 minit selepas acara tersebut bermula membuahkan hasil.


“Saya tak sangka boleh memenangi pertandingan ini sedangkan saya baru kali pertama mencuba selepas mengetahui acara ini melalui laman sosial, Facebook.


“Mungkin kejayaan ini merupakan rezeki anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan anak sulung saya yang berumur 11 bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dalam pada itu, sebagai johan, Mohd. Afify, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Hamidon Mat Aris dan Husni Panjang yang masing-masing berjaya menaikkan ikan pacu seberat 1.13 kg dan 1.06 kg.


Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan RM500.


Kesemua hadiah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn. Bhd. (PFSB), Haslinda Khalid dan Pengarah Urusan Menawar Resources Sdn. Bhd., Abdul Wahab Khalid.-UTUSAN ONLINE.