Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Najib Mohd. berkata, kawasan tersebut akan dibuka kepada awam pertengahan tahun ini setelah kerja penambahbaikan giat dilakukan selesai.

Katanya, kawasan dengan keluasan 2.83 hektar itu juga dilengkapi laluan trek berbasikal serta plot tanaman kebun bandar selain memain peranan utamanya sebagai kawasan tebatan banjir kilat di ibu negara.

“Trek berbasikal tersebut akan menyusuri Sungai Bunus sebelum berhubung terus ke Taman Tasik Titiwangsa yang terletak bersebelahan dan mampu menjadi tarikan baharu kepada warga kota.

“Saya mengalu-alukan orang ramai melibatkan diri dalam projek tanaman kebun bandar ini untuk memanfaatkan kawasan yang sebelum ini berdepan isu pencemaran yang serius,” kata­nya selepas menyempurnakan Program Pemuliharaan Alam Sekitar Dalam Lembangan Sungai Bunus, di sini hari ini.

Sebanyak 100 batang pokok ditanam sebagai simbolik pelancaran program itu yang turut melibatkan komuniti setempat termasuk pelajar sekolah dan universiti serta anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Amerika Syarikat sempena Hari Air Sedunia 2017.

Yang turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Md Nasir Md Noh.

Menurut Mohd. Najib, kerja-kerja penambahbaikan seperti pembersihan kawasan dan memperbaiki kualiti air Sungai Bunus giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama komuniti setempat dan syarikat swasta.