Situasi tarik tali antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan kerajaan Selangor di dalam isu Stadium Shah Alam sebagai stadium tuan rumah pasukan bola sepak Selangor itu masih menemui jalan buntu hingga ke hari ini dan sesuatu harus dilakukan untuk memastikan The Red Giants terus beraksi di stadium berkenaan.

Wartawan Utusan Kota, ABDUL RAZAK IDRIS menemui Koordinator Pembangunan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaar i untuk berkongsi misi dan visi beliau sebagai menyahut seruan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
untuk mentranformasi stadium kebanggaan rakyat Selangor itu kembali ceria berbanding ketika ini yang dilihat semakin suram.


UTUSAN MALAYSIA: Boleh kongsikan sedikit masalah sebenar yang melanda The Red Giants hingga pasukan hebat tersebut terpaksa menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai stadium tuan rumah mereka dan bukannya Stadium Shah Alam?

AZHARI SHAARI: Sejak dua tahun lalu apabila pasukan Sela­ngor dinafikan hak untuk bermain di stadium tersebut hingga terpaksa bermain di Stadium Selayang sebagai tuan rumah dan kini di Stadium Cheras kita melihat perkara tersebut perlu diperbetulkan.

Penyokong Selangor menghantar memorandum dengan ditanda tangani 15,000 rakyat Selangor yang merupakan peminat tegar yang sanggup mengambil inisiatif untuk ‘mendamaikan’ FAS dan kerajaan Selangor, namun tidak dipandang langsung oleh Menteri Besar Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada berkata jika Selangor kembali kepada Barisan Nasional (BN), maka Stadium Shah Alam akan diserahkan kembali kepada pasukan Selangor sebagai stadium tuan rumah. Apa komen Datuk?

Isu sukan seharusnya tidak dipolitikkan oleh Kerajaan negeri. Namun, apabila ia melibatkan kebajikan pemain dan penyokong yang perlu bersesak di tengah bandar raya Kuala Lumpur setiap kali perlawanan bola sepak, maka Perdana Menteri terpanggil untuk mengembalikan Stadium Shah Alam yang mempunyai kemudahan serba lengkap kepada pasukan Selangor seandainya BN menang di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semasa Program Town Hall Transformasi Anak Muda Milenia, di sini baru-baru ini pihak Datuk ada mengemukakan cadangan kepada kementerian untuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai hab pelancongan, boleh komen?

Saya mengemukakan cada­ngan itu berikutan Selangor ter-kenal dengan pasukan bola sepak selain membuka peluang golo­ngan belia terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan sukan di negeri itu.

Jika BN kembali mentadbir Se-langor, stadium suram tersebut dicadangkan untuk ditukar menjadi stadium berwarna merah kuning dan diberi pencahayaan bagi menarik pelancong domestik dan luar negara.

Kita merancang untuk membuka Kedai Usahawan Belia (Youth Entepreneur Outlet) atau YEO yang menjual cenderamata.

Adakah pihak Datuk mempunyai apa-apa model untuk dijadikan contoh kepada perlaksanaan hab pelancongan tersebut?

Di luar negara seperti di England, kelab terkenal seperti Manchester United dan Manchester City mereka memiliki stadium canggih yang boleh menempatkan puluhan ribu peminat dan memiliki paparan LED yang menarik.

Manchester United terkenal dengan Stadium Old Trafford dan Manchester City terkenal dengan Stadium Etihad.

Kita mahu Stadium Shah Alam yang dikenali selama ini setan­ding dengan kualiti stadium kelab-kelab hebat tersebut.

Bagaimana sambutan rakyat Selangor terhadap cadangan tersebut?

Sudah pasti rakyat Selangor gembira kerana bola sepak adalah sukan nombor satu mereka.

Keinginan untuk peminat bola sepak Selangor melihat pasukan Merah Kuning bermain di stadium tersebut membuak-buak hingga ada yang tidak sabar untuk melihat wajah baharu Stadium Shah Alam selepas transformasi dilakukan.

Kita berharap apabila satu hari nanti BN kembali mentadbir Se-langor, Shah Alam menerima le-bih ramai kunjungan pelancong, tambahan projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 sedang giat dijalankan di bandar raya ini.

Selain daripada bola sepak, apakah aktiviti lain yang dicadangkan?

Pada masa ini di kawasan Stadium Shah Alam ada kegiatan go-kart dan tidak jauh dari sini terdapat Taman Sukan Ekstrem.

Saya yakin stadium ini juga sesuai dijadikan sebagai gelanggang tertutup untuk sukan futsal dan sukan ekstrem popular se-perti memanjat dinding, paint ball dan sebagainya.

Kita mahu menjadikan kawasan Stadium Shah Alam lebih hidup dengan aktiviti rekreasi untuk generasi muda yang begitu dahagakan kemudahan sedemikian.

Harapan Datuk?

Rakyat Selangor begitu bersungguh-sungguh untuk melihat stadium tersebut dibaik pulih dan dijenamakan semula menjadi hab pelancongan sukan.

Namun, segala perancangan tersebut tidak bermakna sama sekali jika rakyat Selangor tidak menyokong hasrat tersebut de­ngan memberi undi mereka kepada BN, itu yang paling utama pada masa ini.