Bermain meriam di bulan puasa dikatakan bermula dengan tujuan untuk memberitahu penduduk kampung mengenai masuk­nya waktu berbuka puasa dan waktu untuk bangun sahur serta waktu imsak.

Namun kerana peredaran masa, matlamat dan tujuan letupan meriam dibunyikan sudah berbeza fungsi apabila hari ini meriam dimainkan sekadar untuk suka-suka oleh penduduk di sini.

Jika dahulu meriam diperbuat daripada batang kelapa, tempurung kelapa, malah daripada besi, kini meriam diperbuat daripada saluran paip simen atau dikenali sebagai 'kelubung' oleh penduduk tempatan.

Meriam tersebut mempunyai saiz yang agak panjang iaitu sehingga kira-kira lima meter dan diletupkan menggunakan karbaid.

Seorang pemilik meriam batang kelubung di sini, Muhamad Hakim Muhamad Musin, 24, berkata, meriam tersebut lebih selamat dan tiada insiden yang melibatkan kecederaan berlaku kepada mereka yang bermain meriam.

Menurutnya, bermain meriam di bulan puasa meneruskan tradisi masyarakat dahulu yang hanya dilakukan bulan puasa sahaja.

Katanya, dia selalu mendengar cerita mengenai kemeriahan bermain meriam di bulan puasa oleh masyarakat dahulu.

“Orang dahulu tidak sabar menunggu bulan puasa kerana sudah menjadi tradisi mereka sama-sama bergotong–royong membuat meriam di tempat yang menjadi tum­puan ramai seperti di surau-surau.

“Cerita daripada atuk saya, pada tahun 50-an hingga 80-an meriam batang kelapa masih lagi banyak dimainkan oleh penduduk namun kini meriam sedemikian semakin berkura­ngan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, untuk membuat meriam batang kelapa, ia memerlukan pengalaman dan kerjasama kerana batang kelapa perlu ditebang dan batangnya dibelah dua sebelum dikorek di bahagian tengah kedua-dua bahagian.

Katanya, setelah itu, batang kelapa yang dibelah dicantumkan semula dan diikat dengan buluh dan tali supaya tidak pe­cah ketika letupan daripada karbaid.

“Dahulu, jumlah bunyi letupan meriam menjadi panduan untuk kepada penduduk berbuka puasa dan bersahur iaitu sekali letupan menandakan masuknya waktu berbuka manakala dua kali letupan sudan masuk waktu imsak,” katanya.

Katanya, di zaman ini, bermain meriam paling meriah pada malam Hari Raya apatah lagi ketika rakan-rakan dan saudara mara pulang ke kampung.

“Pada waktu itu seolah-olah satu pertandingan kampung mana yang mengeluarkan bunyi meriam paling kuat. Suasana itu merupakan sebahagian daripada tradisi kegembiraan untuk me­nyambut Hari Raya di sini,” katanya.