PARA penduduk Kampung Tanjung Bundong membawa makanan ke masjid sempena Maulidur Rasul di Kota Samarahan, Sarawak kelmarin. – UTUSAN/ANGELINA SINYANG

Ketua Kaum, Hadzli Awie berkata, tradisi tersebut sudah menjadi amalan penduduk kampung sejak sekian lama pada setiap kali sam­butan hari kebesaran Islam.

Katanya, amalan bersedekah dengan menghantar makanan ke masjid dan surau dalam kalangan masyarakat di kampung tersebut masih kekal dan subur diamalkan sehingga ke hari ini.

“Seperti hari ini, ramai penduduk menghantar hidangan ma­sing-masing untuk dijamu kepada penduduk sempena me­raikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Jawatankuasa Surau Baiturrahman, Lot Fasa Dua, Kampung Tanjung Bundong semalam.

Hadzli yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud turut menyampaikan sumbangan kepada kumpulan zikir Assahabat Lot Fasa Dua, Kampung Tanjung Bundong.

Acara sambutan Maulidur Rasul tersebut dimulakan dengan bacaan zikir dan berselawat ke atas junjungan nabi yang melibatkan penduduk termasuk golo­ngan muda.

Selepas itu, semua tetamu hadir sama-sama menjamah jamuan yang disediakan.

Menurut Hadzli, penduduk mengambil inisiatif menyiapkan pelbagai jenis hidangan di rumah masing-masing sebelum dibawa ke surau dan tradisi yang menjadi amalan itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara ma­syarakat.