Sistem tersebut yang mula diguna pakai di tandas murid lelaki sejak tahun lalu, mengkehendaki murid untuk mengimbas kad identiti pelajar sebelum memasuki tandas.

Di luar pintu tandas, murid-murid dikehendaki menanggalkan kasut masing-masing dan memakai selipar yang telah disediakan. Selain terdapat bacaan doa masuk dan keluar tandas dipaparkan, kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di luar pintu tandas bagi menggalakkan murid supaya berdisiplin.

Guru Besarnya, Halimatus Sadiah Mohd. Sharif berkata, setiap imbasan kad identiti oleh murid-murid boleh diproses datanya melalui perisian khas bagi menganalisis kekerapan murid ke tandas.

"Inisiatif yang diambil pihak sekolah ini secara tidak langsung boleh mengelakkan murid ponteng kelas (melepak di dalam tandas terlalu lama) serta menangani masalah vandalisme mahupun buli di tempat tertutup seperti tandas.

"Sistem ini boleh dijadikan contoh oleh sekolah lain kerana kami di sini menjadikan aspek keselamatan, kebersihan dan keceriaan dalam tandas sebagai salah satu fokus utama," katanya ketika ditemui di SK Tanah Hitam di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat video adab di tandas serta tujuh langkah mencuci tangan turut dipaparkan pada skrin televisyen yang dipasang di dalam tandas tersebut.

Halimatus Sadiah berkata, bagi menggalakkan penjimatan air sehingga 70 peratus, pihaknya memasang pili infrafred yang menggunakan bateri tahan lama, di bahagian tempat mencuci tangan di dalam tandas.

Selain itu katanya, tandas berkenaan juga menggunakan 'manual toilet flash valve system' dan bukannya sistem 'flush' yang menakung air kerana dikhuatiri boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Walaupun sistem ini baru kita laksanakan bermula di tandas tingkat bawah, kita akan menambah baik supaya keseluruhan tandas di sekolah ini menggunakan sistem Touch 'n Toilet.

"Harapan kita ialah apabila murid-murid menamatkan pembelajaran dan keluar dari sekolah ini, ia sudah menjadi budaya dan disiplin dalam diri mereka untuk terus menjaga kebersihan tandas," katanya. - UTUSAN ONLINE