Langkah kerajaan Malaysia itu bertujuan mengurangkan kende­raan komersial yang menggunakan Tambak Johor sebanyak 40 peratus sekali gus mempromosikan laluan LinKedua menerusi Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Inisiatif itu juga bertujuan menyuraikan aliran trafik bermula dari Kompleks Kuarantin, Imigre­sen dan Kastam (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di ibu negeri sebelum masuk ke Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singa­pura.

Satu kajian terhadap keberkesanan selepas kadar baharu tersebut dikuatkuasakan perlu dilakukan. Ini penting kerana bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja dan bersekolah di republik tersebut tetapi juga melibatkan industri pelancongan.

Sebabnya 65 peratus pelancong yang datang ke Malaysia adalah dari Singapura termasuk pelancong negara lain yang turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Tambak Johor adalah pintu masuk penting dari selatan tanahair.

Lebih 107 juta orang keluar masuk menerusi kedua-dua pintu masuk itu sejak 2016 dan berberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan itu menjadikan Tambak Johor dan LinKedua pintu masuk paling sibuk di dunia dan sesak pada setiap masa.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor kerana lebih 154,000 kenderaan menggunakan laluan itu untuk keluar dan masuk setiap hari dan dua kali ganda jumlah itu pada hujung minggu.

Bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, kaunter laluan kenderaan berat di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dibuka kepada kenderaan persendirian tidak lama lagi. Namun cadangan itu hanya akan diguna pakai pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Semuanya itu memerlukan Ja­batan Kerja Raya (JKR) untuk melihat semula aliran trafik dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Unit Perancang Lebuh­raya untuk memuktamad pendekatan itu yang dirancang pada Sabtu dan Ahad di laluan lori.

Kadar baharu di LinKedua itu adalah keputusan 'sementara' yang positif kerana difahamkan kerajaan Singapura juga melakukan langkah timbal balik. Kementerian Pengangkutan Singapura akan menyesuaikan kadar tol di Pusat Pemeriksaan Tuas bermula 1 April ini.

Kadar bayaran tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands tidak berubah. Mungkin sekiranya kerajaan Malaysia mengurangkan kadar bayaran di CIQ BSI, republik tersebut akan melakukan tindakan sama.

Kita masih tidak tahu bagaimana sambutan terhadap keputusan itu kerana dilihat orang ramai lebih suka menggunakan Tambak Johor kerana faktor jarak LinKedua yang sedikit jauh dari pusat bandar raya. Apatah lagi bagi pekerja Singapura yang ramai menetap di Pulai, Senai, Kulai dan Pasir Gudang sudah tentu memikirkan efektif atau tidak menggunakan LinKedua.

Pada masa sama, kerajaan perlu melakukan kajian jangka panjang kaedah untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Contohnya jumlah kenderaan dan orang ramai yang menggunakan laluan tersebut, jika statistiknya bertambah dan kemampuan sedia ada tidak mampu menampung kapasiti di Tambak Johor, satu formula penyelesaian harus dilakukan.

Kerajaan boleh menambah jumlah pekerja dan kaunter sedia ada. Pihak imigresen biasanya akan membuka 224 kaunter di CIQ BSI dan 127 kaunter di CIQ KSAB pada waktu puncak selain membekukan cuti pegawainya pada masa tersebut.

Pada hujung minggu, cuti sekolah atau cuti perayaan, bilangan kaunter dan kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas perlu ditambah. Difahamkan sebelum ini hanya 1,100 kakitangan berkhidmat dan memerlukan 300 kakitangan semuanya.

Menerusi pengalaman penulis sendiri yang selalu ke Singapura, pemeriksaan di Tambak Johor kerap dipermudahkan semasa waktu puncak sementara di Woodlands agak kompleks terutama jika ada kes-kes tertentu membabitkan jenayah, pemeriksaan 100 peratus dilakukan.

Banyak langkah yang sudah dilakukan sebelum ini bagi mengu­rangkan kesesakan di laluan itu antaranya meningkatkan kekerapan perkhidmatan tren ulang-alik, memperkenalkan sistem kad Touch n Go, sistem permit ma­suk kenderaan (VEP) dan sistem kawalan imigresen automatik (M-Bike) namun semuanya tidak sukses dalam melegakan trafik.

Namun sebarang langkah yang akan akan dilakukan amat memerlukan kerjasama dan persetujuan Singapura. Misalnya untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, kerajaan mencadangkan pusat pemeriksaan tunggal dilaksanakan di Tambak Johor bagi melicinkan perjalanan dan mempercepatkan aliran trafik sama ada keluar dari Malaysia atau keluar dari Singapura. Cadangan ini dilaporkan ditolak Singapura minggu lalu atas aspek keselamatan.

Mengenai perkara ini, Malaysia tidak boleh mempersoalkan keputusan Singapura kerana langkah pelaksanaan sistem pemeriksaan keselamatan adalah di bawah tanggungjawab dan hak mereka.

Dalam menangani masalah ini yang sering berbangkit, adalah wajar cadangan membina Jambatan bengkok sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak tahun 1923 direalisasikan.