A. Latiff Awang
A. Latiff Awang

Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, daripada jumlah itu, kapasiti UniFi sebanyak 4,240 sudah siap dipasang di beberapa lokasi di daerah ini dan Kemaman.

Beliau memberitahu, manakala UniFi berkapasiti 4,416 masih dalam perancangan pelaksanaan di dua daerah berkenaan.

“Kesemua 4,240 kapasiti UniFi sudah siap dilaksanakan bermula 25 Ogos hingga 28 November tahun ini manakala sebahagian lagi yang masih belum siap (4,416 kapasiti) dijangka selesai dilaksanakan dalam bulan ini sehingga Mac tahun depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, antara lokasi yang telah siap dipasang UniFi ialah Taman Adis Indah, Taman Permint, Aik Hoe Jalan Sultan Zainal Abidin dan Kampung Bukit Bayas yang kesemuanya terletak dalam daerah ini.

Bagi daerah Kemaman pula, lokasi terlibat ialah di Simpang Empat Kemasik, Taman Perumahan Lot 144, Chukai, Taman Ixora 2, Perumahan Rantau Petronas, Kampung Mak Chili dan Taman Koperasi Perdana.

Manakala bagi fasa yang masih dalam perancangan pelaksanaan, katanya, ia melibatkan Kampung Gong Kapas, hadapan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, sebelah Hotel Permai, Taman Kalongan Emas, Taman Purnama Kuala Ibai dan Taman Green Acres IB.

“Untuk lokasi di daerah Kemaman ialah Kompleks Beli Belah Centrepoint, pekarangan TM Point Kemaman, sebelah Maybank Bandar Chukai Utama dan Kampung Dusun Nyior Bandar Chukai Utama,” katanya.

A. Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, perkhidmatan UniFi itu menawarkan dua pakej iaitu RM179 untuk 30 megabit (mb) dan RM229 untuk 50 mb.

“Dengan pembangunan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) di Terengganu di samping pelbagai kemudahan lain termasuk WiFi percuma, kerajaan negeri telah mendapat kerjasama dan sokongan TM.

“Kita berterima kasih kepada TM dan kita harap perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke seluruh negeri ini untuk kemudahan rakyat Terengganu,” katanya.

UniFi yang diusahakan oleh TM merupakan satu perkhidmatan serbaguna menerusi rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi yang ditawarkan kepada pengguna perumahan dan sektor perniagaan.

Perkhidmatan yang mula dilancarkan pada Mac 2010 itu menawarkan khidmat Internet yang kelajuan muat turunnya melebihi Streamyx selain perkhidmatan IPTV dan video atas permintaan (Hypp TV), pembacaan akhbar dan majalah menerusi Internet (e-browse) serta pelan panggilan istimewa untuk para pelanggannya.