Pengurus Besar TM Melaka, Roz­lan Mohamed berkata, penduduk di negeri ini termasuk yang berada di kawasan pinggir bandar kini berpeluang merebut pelbagai manfaat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi penawaran jalur lebar 4G tersebut.

Menurutnya, perkhidmatan itu merangkumi liputan di kawasan seperti Alai, Duyong, Padang Temu, Bukit Lintang, Kampung Lelong, Ayer Paabas, Kelemak, Pulau Sebang, Lendu Tengah, Malim, Tangga Batu, Merlimau, Sungai Rambai serta Jasin dan beberapa tempat lain.

“Penawaran ini mengambarkan usaha berterusan TM sebagai peneraju jalur lebar negara dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi ke seluruh Malaysia merentasi semua segmen dan lokasi selari Pelan Jalur Lebar Negara kepada semua masyarakat.

“Produk TMgo ini bercirikan Broadband-To-Go dengan kelajuan sebenar 4G yang membolehkan pelanggan melayari, menonton video dan televisyen secara dalam talian, muat turun serta memin­dahkan fail-fail besar dengan mudah.

“TMgo ini hanya menyediakan perkhidmatan data sahaja dan jika pelanggan ingin membuat sebarang panggilan mereka boleh menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti Skype, Viber dan sebagainya selain berkonsepkan prabayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pakej ‘Rural Broadband Area’ dan TMgo sempena Siri Jelajah Hidup Lebih Mudah TM, di Taman Harmoni Merlimau, di sini hari ini

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.

Dalam pada itu Rozlan berkata, menjelang tahun 2015 penembusan jalur lebar di Melaka adalah sebanyak 75 peratus dan daripada jumlah itu 35 peratus disumbangkan oleh TM.

“Sehingga Disember 2014, TM Melaka mempunyai sebanyak 137,428 pelanggan talian telefon manakala pelanggan Streamyx (76,304) dan Unifi (3,748) orang,” katanya.