Perjuangan ‘buta warna’ yang dilaungkan tidak pernah memihak kepada pengundi BN sahaja malah golongan pembangkang terus disantuni dalam mencartakan kemajuan untuk masyarakat dalam Parlimen Pendang.Pendekatan yang digunakan cukup mudah iaitu berjumpa pengundi di kawasan itu menerusi pelbagai cara agar mereka tahu dan kenal siapa wakil rakyat selain menganjurkan majlis membawa manfaat kepada seluruh masyarakat. Sudah menjadi rutin harian beliau, keluar seawal pagi berjumpa dan bersarapan dengan penduduk selain mudah didekati .

Wartawan Utusan Malaysia, ZULQURNAIN OTHMANmengajukan lima soalan berkenaan usaha yang dilaksanakan sepanjang menjadi wakil rakyat dan inspirasi beliau menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
 

UTUSAN: Komen Datuk tentang projek pembangunan di Parlimen Pendang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hingga kini?

Othman Abdul: Pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat serta kemudahan kepada rakyat kita laksanakan terutamanya dari segi infrastruktur dan keselamatan.

Kita juga memberi tumpuan kepada pembinaan jalan raya menghubungkan kampung-kampung dalam kawasan Pendang selain sekolah baharu bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat.

Dalam masa sama, lebih ba­nyak program untuk meningkatkan kemajuan dirancang bagi membawa perubahan termasuk ekonomi penduduk setempat.

Apakah projek besar yang bakal dilaksanakan?

Projek pembinaan pejabat Jabatan Kerja Raya daerah Yan dan Pendang yang siap dibina dan bangunan menempatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih dalam pembinaan.

Dalam masa terdekat, sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) akan dibina berhampiran de­ngan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dan sebuah hospital bakal dibina dalam masa terdekat.

Terdapat kelewatan dalam pelaksanaan projek hospital itu kerana berlaku perubahan pelan asal serta penilaian semula kos selepas ditukar dari hospital bukan pakar kepada separa pakar tetapi ia akan tetap dibina tidak lama lagi.

Sejauh mana Datuk melihat pembangunan di kawasan ini dan berpotensi dalam bidang apa?

Kebanyakan penduduk di kawasan ini terlibat secara aktif dalam bidang pertanian jadi ia satu sektor yang boleh dikembangkan untuk memaksimumkan pendapatan rakyat.

Padi dan getah menjadi sumber utama kepada penduduk di sini dan program mini estet padi disediakan kepada petani yang membantu mereka dari segi bantuan bimbingan, baja dan racun rumpai manakala sebuah pusat pengumpulan susu getah akan dibina bagi menghasilkan produk yang lebih menguntungkan.

Bagaimana Datuk melihat sa­ingan pembangkang di Pendang pada PRU-14 nanti?

Terdapat pengaruh luar yang sudah melancar gerak kerja mem­pengaruhi rakyat iaitu Par­ti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi saya yakin mereka tidak akan berjaya menawan Pendang kerana masyarakat le­bih tahu menilai siapa buat kerja daripada golongan yang hanya pandai mengambil kesempatan sahaja.

Pada PRU-13, kita hanya menghadapi tentangan Pas sahaja tetapi saya yakin dan percaya BN dan UMNO tetap akan mempertahankan kerusi Pendang. Insya-Allah pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada BN.

Apakah perancangan atau fokus bagi Pendang pada masa akan datang?

Saya akan berusaha untuk me­laksanakan lebih banyak program menjana pendapatan isi rumah. Golongan tumpuan akan me­rangkumi keseluruhan peringkat masyarakat dengan pengenalan program peningkatan ekonomi.

Usahawan muda akan diberi asuh­an dan bimbingan de­ngan harapan ia akan memberi ke­­untung­an bukan hanya kepada golongan tersebut malah masyarakat setempat juga dapat menikmati kesan positif program tersebut.