MOHD. RIDZUAN: Saya dapati banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan peniaga kecil yang gagal memperjuangkan nasib peniaga Bumiputera secara keseluruhan. Sebagai seorang usahawan yang pernah mengalami jatuh bangun­ dalam perniagaan, saya nampak perlu ada satu NGO yang kuat, lantang dan berani.

Paling penting, NGO itu mampu mencetuskan idea-idea realistik dan membuka minda pemimpin politik, kementerian dan agensi kerajaan bahawa peniaga kecil perlu diberi perhatian kerana mereka menyumbang kepada ekonomi negara.

Apakah hala tuju penubuhan Ikhlas?

Selain membantu golongan peniaga yang berhadapan dengan­ pelbagai masalah, Ikhlas turut memainkan peranan menyiasat penguat­ kuasa yang didakwa melindungi warga asing yang berniaga secara haram di sekitar Kuala Lumpur.

Kita dapati lebih 80 peratus peniaga asing menguasai perniagaan di Chow Kit, Lebuh Ampang, Pasar Seni, Pasar Keramat, Jalan Masjid India, Jalan Petaling dan Segambut dengan­ bantuan dan pertolongan pegawai penguat kuasa.

Kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia­ menyiasat­ pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan imigresen­ yang terlibat dalam proses­ pemberian lesen menggunakan nama ahli keluarga dan saudara-mara.

Apakah masalah yang sering dihadapi oleh peniaga Bumiputera dalam menjalankan perniagaan mereka?

Masalah utama adalah kerenah birokrasi yang berlaku di dalam PBT. Apabila mereka sukar mendapatkan lesen perniagaan maka wujudlah peniaga dan penjaja jalanan yang tidak mempunyai permit perniagaan.

PBT juga lebih mengutamakan­ peniaga yang menjalankan perniagaan secara besar-besaran manakala peniaga kecil dan penjaja dibiarkan tanpa belas ihsan.

Apabila peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tidak sah, perniagaan mereka disita, ditarik dan berlakulah insiden pergaduhan antara peniaga dan pihak penguat kuasa.

Cabaran yang anda hadapi sepanjang membantu peniaga Bumiputera?

Bukan mudah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga kerana ia melibatkan dua pihak iaitu peniaga dan PBT.

Malah, saya pernah diugut bunuh kerana mencampuri satu masalah yang melibatkan peniaga.

Pada pendapat saya, PBT juga perlu melatih pegawai mereka agar lebih bersikap adil dan tenang ketika menangani peniaga dan jangan­ bertindak seperti ‘singa lapar’ kerana­ ia tidak menguntungkan sesiapa.

Pencapaian paling membanggakan Ikhlas setakat ini?

Ikhlas telah menyelesaikan beberapa kemelut yang melanda­ peniaga antaranya isu petak bazar Ramadan di Jalan Tuanku­ Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

Sebelum ini, difahamkan petak-petak tersebut diberi kepada pihak-pihak tertentu. Setelah Ikhlas membuat bantahan barulah ia ditukar kepada sistem undian serta mengutamakan peniaga kecil.

Begitu juga dengan isu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail yang didakwa akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek Aliran­ Transit Massa (MRT). Kita telah membuat bantahan dan akhirnya­ pasar tersebut tidak dirobohkan.

Ikhlas bukan sahaja membantu peniaga di Kuala Lumpur tetapi juga peniaga pasar malam di Kampung Melayu, Johor Bahru.

Anda dilihat kerap muncul menerusi media bagi memperjuangkan nasib peniaga Bumiputera. Ini menyebabkan ada yang beranggapan Ikhlas hanya mengejar populariti?

Apa yang saya buat selama ini adalah semata-mata mahu menjaga kepentingan peniaga Bumiputera dan bukan hendak mengejar populariti.

Semua kenyataan yang saya keluarkan­ di media cetak dan elektronik­ adalah berpandukan fakta, bukannya cakap kosong. Jika lantang bersuara tetapi tidak ada fakta dan ilmu lambat-laun sesebuah NGO itu pasti akan mati sebagaimana yang berlaku kepada NGO-NGO lain sebelum ini.

Harapan Ikhlas kepada peniaga dan penjaja kecil Bumiputera?

Saya berharap mereka bersatu di bawah NGO atau persatuan yang benar-benar prihatin terhadap nasib mereka. Saya juga meminta­ kerajaan supaya memberi lebih­ fokus kepada golongan peniaga dengan­ mengadakan­ pelbagai usaha untuk menjadikan mereka usahawan berjaya.

Peniaga Bumiputera juga harus meningkatkan tahap kemahiran dengan menyertai kursus anjuran agensi kerajaan atau swasta supaya dapat merebut peluang perniagaan yang lebih besar pada masa akan datang.