Katanya, semua anggota pentadbiran telah mengenali antara satu sama lain dengan baik termasuk kelulusan akademik masing-masing.

"Ada yang tidak ada sijil beritahu dia tidak ada sijil. Saya sendiri pun ada diploma tetapi tidak pernah cakap saya ada ijazah.

"Sehingga kini, isu sijil akademik palsu tidak berlaku dalam kerajaan di negeri ini. Saya tidak tahu kalau ia berlaku di luar kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan (NSCCCI) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.

Pada masa ini, kata Aminuddin, tidak ada keperluan kepada kerajaan negeri untuk memeriksa sijil akademik anggota pentadbiran kerajaan. 

"Dalam politik kadang-kadang kita tidak tahu macam-macam yang berlaku. Kadang-kadang sesuatu isu ditularkan begitu sahaja.

"Pihak yang membuat tuduhan perlu membuktikan dakwaan mereka terlebih dulu sebelum tindakan dilakukan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE