Tiada hujan, mahupun ribut, tiba-tiba sahaja pokok sebesar lebih empat pemeluk itu tumbang lalu menghempap sebuah teksi yang membawa dua penumpang.

Dalam kejadian itu pemandu teksi cedera di kepala dan ba­dan, manakala penumpang, Ka­marizezatul Nadia, 21, cedera di muka dan tangan. Rakannya pula, Norfarida Adnan, 23, patah tangan kiri.

Penulis percaya, kejadian pokok tumbang di ibu negara bukanlah baharu dan terus menimbulkan kebimbangan warga kota.

Kebimbangan sama turut disuarakan Nazarry Rosli, 51.

Nazarry merupakan antara individu yang prihatin terhadap isu-isu berkaitan warga kota, termasuk isu pokok tumbang.

Mencari rezeki di Kuala Lumpur sejak lebih dua dekad lalu. Jalan Chulan bukan lagi asing kepadanya kerana bangunan tempat beliau bekerja terletak berhampiran jalan tersebut.

Penulis sengaja menghubunginya bagi berkongsi detik-detik cemas rakannya, Julian yang menyaksikan sendiri insiden pada Sabtu lalu.

“Secara kebetulan kenderaan yang dipandu Julian berada di belakang teksi tersebut. Pokok itu tumbang secara tiba-tiba. Cuaca petang itu baik dan tiada tanda-tanda hujan,” katanya.

Katanya, walaupun insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, sesuatu perlu dilakukan pihak bertanggungjawab.

“Setiap hari pengguna kenderaan dan penjalan kaki melalui laluan di situ yang sibuk dan mereka sentiasa terdedah dengan bahaya,” katanya.

Penulis tidak menolak usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memastikan pokok-pokok yang ditanam di sekitar ibu negara terjaga dan diselenggara dengan sempurna, tetapi perlu lebih agresif.

Sudah tiba masanya DBKL lebih proaktif dalam penjagaan dan penyelenggaraan pokok-pokok be­ri­siko di sekitar ibu negara.

Ini terutamanya melibatkan pokok-pokok berusia lebih 40 tahun.

Usaha Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menawarkan diri menyediakan khidmat nasihat kepada DBKL bagi mengenalpasti lokasi berisiko berlaku kejadian pokok tumbang wajar diberi pujian.

Bahkan, sikap proaktif ma­syarakat yang memaklumkan kejadian pokok tumbang kepada pihak bertanggungjawab juga wajar dipuji.

Kerjasama baik itu perlu dilakukan secara berterusan bagi membantu melancarkan semua aspek pengurusan bandar raya Kuala Lumpur.

Benarkah dalam menentukan status sebuah bandar raya itu benar-benar selamat didiami atau sebaliknya hanya dengan melihat jumlah kehadiran pelancong?.

Penulis berpandangan itu tidak cukup. Selamat itu terlalu luas maksudnya. Bukan sahaja selamat daripada ancaman jenayah, sebaliknya perlu dilihat daripada pelbagai aspek.