Mohamed Khaled Nordin

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kepentingan untuk memelihara tanah rizab Melayu itu tetap menjadi keutamaan kerajaan nege­ri meskipun Johor menduduki tem­pat pertama dalam menarik pelaburan asing.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan bahawa mana-mana tanah yang hendak dibuat pembatalan perlu digantikan dengan tanah yang sifatnya adalah sama atau lebih baik dari segi keluasan dan nilainya.

“Kerajaan negeri sangat serius melihat isu ini, setiap permohonan penggantian yang hendak dibawa untuk kelulusan pihak berkuasa negeri perlu diperhalusi di peringkat Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terlebih dahulu.

“Atas sebab itu, dari tahun 2013 hingga hari ini, kerajaan negeri hanya meluluskan empat permohonan pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu me­libatkan keluasan 4.306 hektar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Permas menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang me­­minta penjelasan tentang jumlah keluasan tanah rizab Melayu dan perancangan kerajaan negeri untuk menambah kelua­sannya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan pasukan petugas khas di PTG bertujuan memantau tanah rizab Melayu selain melaksanakan inventori yang akan dikemas kini setiap masa.

“Hingga 31 Julai lalu, keluasan ta­nah berstatus rizab Melayu adalah sebanyak 555,527.859 hektar atau 29.4 peratus daripada ke­luasan negeri ini, ia­itu peningkatan seba­nyak 251.844 daripada 555,276.015 hektar seperti dinyatakan semasa persidangan dewan sebelum ini,” katanya.