Sebelas tahun berada dalam pengurusan tertinggi dalam agensi kerajaan itu sedikitpun tidak mematahkan semangat DATUK NORMAH MALIK yang diibaratkan ‘kecil-kecil cili padi’ untuk terus menabur bakti. Wartawan Utusan Malaysia, FAUZI
SUHAIMI bersama jurugambar FARID JANUDIN menemu bual wanita cekal ini yang bersara wajib pada 23 Disember tahun lalu bagi berkongsi pengalaman dan harapan beliau terhadap MOHD. SAUFFI MOHAMAD yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL bagi menggantikannya.

UTUSAN: Boleh Datuk kongsikan pengalaman sepanjang berkhidmat selama 11 tahun di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

DATUK NORMAH: Pelantikan saya sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran pada tahun 2004 menjadi titik permulaan untuk terus berkhidmat dan menyumbang bakti kepada DBKL. Saya berterima kasih kepada barisan kepimpinan tertinggi DBKL kerana memberi kepercayaan kepada wanita seperti saya untuk serta dalam membuat keputusan dan dasar dalam organisasi ini.

Datuk dilihat lebih ke hadapan apabila dilantik untuk menerajui sektor pembangunan sosio ekonomi selepas penstrukturan semula DBKL. Komen Datuk?

Pada saya, tugas ini lebih mencabar berbanding jawatan yang pernah saya pikul sebelum ini. Ini kerana saya lebih banyak turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat berbanding melakukan hal-hal yang melibatkan pengurusan.

Jadi, saya lebih gembira melakukan kerja ini kerana dapat berjumpa dengan banyak pihak termasuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta persatuan peniaga dan penjaja.

Kongsikan pendekatan dan cara Datuk bekerja.

Semua orang ada cara tersendiri mengikut kesesuaian dan keselesaan mereka. Sama seperti saya, ada cara saya untuk memastikan setiap apa yang dirancangkan dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan.

Saya agak tegas dalam melakukan kerja. Ketegasan itu penting bagi memastikan setiap apa yang direncanakan membuahkan hasil memberangsangkan.

Selain itu, saya juga menggunakan pendekatan ke arah penyele­saian jangka panjang dalam sesuatu isu ataupun masalah.

Perancangan Datuk dalam tempoh persa­raan.

Buat masa ini, saya bercadang untuk berehat dahulu dan menghabiskan waktu bersama keluarga di samping bermain dengan cucu.

Harapan Datuk terhadap pelantikan Ke­tua Pengarah Eksekutif yang baharu?

Saya yakin dengan pengalaman luas beliau, mampu menjadi nakhoda yang berdedikasi dan berke-trampilan bagi kakitangan khususnya di jabatan seliaannya. Ini termasuk Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja dan Jabatan Perumahan dan Rekreasi.

Menjadi harapan agar beliau dapat meneruskan perjuangan yang telah dilakukan sebelum ini serta menambah baik apa yang sewajarnya. Bagaimanapun saya masih menaruh harapan agar ada wakil daripada golongan wanita dalam pengurusan ter­tinggi selepas ini.

Harapan anda selepas dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL?

MOHD. SAUFFI MOHAMAD: Harapan saya amat besar, iaitu untuk memastikan tanggungjawab yang diberikan ini dapat dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan termasuk berintegriti, amanah dan berhemah.

Ke mana hala tuju selepas ini?

Perjuangan yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu terutama kepimpinan Datuk Normah akan saya teruskan serta menambah baik mengikut keperluan semasa.

Terdahulu ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab yang besar ini.

Hala tuju sektor ini akan diteruskan seperti biasa dan fokus utama adalah untuk memastikan kepentingan umum dapat dipelihara khususnya daripada aspek perumahan, keselamatan dan tanggungjawab kepada peniaga.

Pendekatan saya adalah tidak suka untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya akan mencari penyelesaian setiap masalah yang wujud tanpa mengetepikan mana-mana hak khususnya warga kota.

Harapan kepada Mustafa Mohd. Nor yang mengambil alih jawatan anda sebelum ini.

Teruskan dan tambah baik setiap langkah dan strategi penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sebelum ini dan sentiasa bertindak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dengan tegas dan berhemah.

Bagi saya, untuk memastikan setiap kredibiliti sesebuah badan penguatkuasaan ini adalah dengan menekankan aspek penguat kuasa perlu dihormati dan bukan ditakuti.