Langkah tersebut ke arah memastikan institusi pengajian tinggi awam itu benar-benar bebas daripada gejala rasuah, sekali gus khidmat dan tanggungjawab dengan ganjaran yang dapat memberi keberkatan kepada diri dan kesejahteraan buat keluarga.

Lafaz dan tandatangan oleh setiap kakitangan dan juga pe­mimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu dilakukan di hadapan Penolong Rektor, Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman dengan disaksikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Zainal Ayop.

Inisiatif SPRM ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat secara sukarela untuk memastikan petugas lebih bertanggungjawab dan menja­uhkan diri daripada sebarang per­lakuan rasuah selama memegang jawatan.

Berucap dalam majlis itu, Sarifah Fauziah berkata, beliau amat menyokong pelaksanaan IBR ya­ng bertujuan untuk mengelakkan konflik kepentingan serta persepsi negatif antara pihak kampus dengan pihak luar.

Menurut beliau, IBR ini amat bermanfaat kepada semua warga sebagai amaran dan peringatan agar menjauhi gejala itu, di sam­ping sebagai salah satu bukti bahawa organisasi telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah.

“Dengan termeterainya IBR ini juga membuktikan usaha mem­banteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungja­wab­ eksekutif SPRM tetapi me­ru­pakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh setiap masyarakat,” ujarnya.

Beliau yakin dengan kesungguhan warga kampus dalam menandatangani IBR akan memacu organisasi ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Marilah bersama-sama SPRM menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi memastikan rasuah diperangi habis-habisan, di samping kita menjadi warga yang lebih berani, benci kepada rasuah dan salah guna kuasa serta bangun menentang rasuah bersama SPRM,” jelasnya.