Video oleh FARID JANUDIN

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sekitar bandar raya ini mendapati, pendekatan baharu Kementerian Pendidikan itu cuma menjejaskan sedikit suasana kemeriahan sewaktu mendapatkan slip keputusan dan kebanyakan calon ditemani ibu bapa kelihatan lebih tenang.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 di sini, slip UPSR diserahkan kepada murid yang dipanggil naik ke atas pentas, walaupun ada yang tersenyum gembira, tidak kurang juga dilihat sugul tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan mereka.

Pasangan kembar, Muhammad Fahman Hakimi Mohd. Nawawi, 12, yang berkongsi kejayaan bersama adiknya, Muhammad Fahman Hakim merupakan antara calon UPSR yang meraih keputusan cemerlang di sekolah itu.

Menurut ibu mereka, Suzila Ismail, 40, langkah yang disyorkan kementerian itu tepat kerana proses pembelajaran di sekolah sepatutnya dilaksanakan secara seimbang tanpa membezakan tahap kemampuan seseorang murid.

Katanya, kaedah itu juga dalam masa sama dilihat lebih adil kepada murid kerana mereka tidak tertekan kerana ini hanya permulaan.

“Saya bersetuju dengan kaedah ini kerana tidak perlulah kita meraikan hanya yang cemerlang hingga menyisihkan kurang bernasib baik dan sebagai ibu bapa, kita pun tidak terkesan serta sedih dengan apa berlaku terhadap anak,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan seorang ibu, Dr. Faridah Mat, 42, katanya, kejayaan murid bukan elemen dalam keputusan UPSR semata-mata tetapi melibatkan penilaian lain sebagaimana Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

“Pastinya kita berdebar tetapi kita menerima seadanya keputusan berkenaan kerana tahu anak, guru dan pihak sekolah sudah berusaha sebaik mungkin.

“Hari ini saya tengok ramai ibu bapa bersemangat dan lega kerana kami tidak perlu merasa tekanan, begitu juga dengan guru kerana tiada perbandingan dibuat dengan sekolah lain,” katanya.