Sumbangan besar di bawah tanggungjawab sosial korporatnya itu akan membantu mempercepatkan proses pembinaan masjid di sekolah agama tertua dan berprestij itu bagi menampung keperluan seiring dengan pertambahan jumlah pelajarnya dan kepesatan penduduk kawasan setempat.

Pembinaan masjid berkeluasan 878 meter persegi yang boleh menampung sehingga 1,000 jemaah telah bermula pada tahun 2016 tetapi dalam skala agak perlahan kerana kekangan kewangan.

Terengganu Inc.diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Ketua Komunikasi Korporat, Suridah Supian menyerahkan sumbangan itu kepada Pengetua SMAASZA, Aziz Muda dalam majlis perhimpunan pagi ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Timbalan Pesuruhjaya Pengurusan Kewangan Pejabat Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Adzhar Jusoh.

Video oleh FARID JANUDIN

Dalam majlis ringkas itu, SMAAZA turut menerima RM50,000 sumbangan para individu dan syarikat di samping RM20,000 daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

Wan Ahmad Rudirman berharap sumbangan ini dapat mendorong lebih syarikat korporat untuk turut berbuat demikian dalam meninggikan syiar Islam dan memenuhi keperluan masyarakat.

“Sumbangan ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat Terengganu Inc kepada komuniti. Melalui amalan sebegini, kami harap dapat memberi impak kepada komuniti dan secara tidak langsung kepada pendidikan,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE