Video oleh FARID JANUDIN

Proses pelupusan secara beradab mengikut syarak, se­iring dengan garis panduan fatwa itu turut melalui proses inovasi tahun lalu apabila debu yang terhasil dimampatkan bagi memudahkan proses penyimpanan dan lebih mesra alam, sebelum dibuang ke laut.

Program pelupusan tahunan diteruskan semalam dengan sejumlah 2.5 tan (250 unit kiub) kira-kira 10 batu nautika dari perairan daerah ini yang disertai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Yang turut hadir Timbalan Pesuruhjaya (Pengurusan, Kewangan dan Pembangunan) JHEAT, Azhar Jusoh; Pengarah Jabatan Laut Malaysia negeri, Wan Endok Wan Salleh dan Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Penyelidikan) JHEAT, Mohd. Noor Mohamad.

Sehingga kini relau berkenaan turut diguna pakai oleh beberapa pihak lain termasuk Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Persatuan Qiraat Malaysia dan Pustaka Darul Aman Kedah.

JHEAT dalam kenyataannya memberitahu, proses pelupusan teks al-Quran yang sudah tidak boleh dibaca ini akan dilakukan berterusan agar tidak berlaku lambakan, di samping mengurangkannya ke tahap minimum.

Sementara itu, Ghazali berkata, dengan keupayaan relau yang masih berfungsi dengan baik, kerajaan negeri bersedia membantu umat Islam di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk melupuskan al-Quran yang rosak dan musnah akibat bencana itu.

Katanya, khidmat itu akan dilakukan secara percuma dan pihak berkuasa agama negeri-negeri berkenaan boleh menguruskan proses pengumpulan untuk dihantar ke negeri ini.

“Kali terakhir kerajaan negeri menerima al-Quran rosak akibat ditenggelami banjir untuk dilupuskan adalah pada 2015 apabila kerajaan negeri Kelantan menghantar lebih 25 tan untuk dilupuskan,” katanya.