Kesukaran meredah perjalanan yang sesak ke tapak ekspo di pekarangan Komplek Sukan Negeri di Gong Badak dekat sini agar tidak terlepas peluang berkunjung ternyata cukup berbaloi.

Siti Rokiah Che Abdullah, 50, yang ditemani suaminya, Ariffin Embong, 52, membawa pulang televisyen (TV) bersaiz 45 inci.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk ekspo itu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang malam ini.

Menurut Tengku Putera, penghargaan itu diberikan sejajar dengan sasaran 400,000 pengunjung yang ditetapkan kerajaan negeri sepanjang tujuh hari acara terbesar itu berlangsung.

“Alhamdulillah pada pukul 7.06 malam ini kita telah berjaya mencapai 400,000 pengunjung, dan jumlah itu tentunya meningkat dengan ketara esok sempena majlis penutup yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita dapati penganjuran ekspo ini bukan sahaja memberi pengalaman terbaik buat kakitangan kerajaan dan petugas dalam menggerakkan program sebegini besar dan menggembirakan pengunjung.

“Paling istimewa apabila berjaya memberi keyakinan kepada rakyat untuk bersama kerajaan dalam perancangan masa kini dan masa depan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan negeri,” katanya dalam sidang akhbar malam ini.

Sementara itu, Rokiah sama sekali tidak menyangka kunjungan menjelang hari akhir ekspo memberi tuah buatnya menerusi pendaftaran yang dibuat pada pukul 7.06 malam.

Katanya, kesukaran meredah kesesakan dan begitu lama mencari parkir untuk ke tapak ekspo berbaloi dengan pemberian hadiah istimewa itu.

“Saya dan suami bertolak dari rumah selepas solat Asar tetapi sampai agak lewat kerana kesesakan jalan raya dan kesukaran mendapat tempat parkir.

“Di dewan pameran utama pula kami terpaksa berbaris panjang untuk mendaftar. Saya gembira dan bersyukur,” katanya. - UTUSAN ONLINE