Video oleh FARID JANUDIN

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, ketika ini pembinaan klinik dengan kuarters itu telah mencapai 52 peratus, sekali gus melepasi enam peratus kemajuan yang sepatutnya dicatatkan.

Katanya, jika momentum berkenaan terus dikekalkan, klinik ini mampu menjadi model kepada projek pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri ini.

"Pelaksanaan sepatutnya di tahap 46 peratus tetapi kita sudah mencapai 52 peratus. Jadi kita jangka ia dapat disiapkan hujung tahun ini.

"Tahniah kepada jurutera daerah dan kontraktor terlibat, perkembangan ini membuktikan tidak semua yang projek pembangunan bermasalah," katanya kepada pemberita selepas melawat projek Klinik Kesihatan Marang, di sini hari ini.

Yang  hadir sama, jurutera daerah, JKR Marang, Ir. Amalludin Zolkifli.

Klinik Kesihatan Marang setinggi dua tingkat dilengkapi kemudahan klinik pesakit luar, klinik ibu dan kanak-kanak, klinik pergigian, perkhidmatan kesihatan untuk sekolah bantuan kerajaan, perkhidmatan kawalan vektor dan klinik kecemasan di samping turut menempatkan kuarters dua tingkat.

Menurut Mohammad, ia direka bentuk bagi memberi kemudahan dan keselesaan termasuk menyediakan lif, dengan keupayàan menampung sehingga 300 pesakit dalam sehari. - UTUSAN ONLINE