Tangisan Mohd Zaidanie Amsyar Zaidi, 6, dan adiknya, Mohammad Zaidanie Amar Zaidi, 4, yang kedengaran sayup-sayup membawa kepada penemuan mereka pada pukul 9.45 malam setelah dilaporkan  hilang pada pukul 4 petang ketika bermain di tebing alur  berhampiran di rumah nenek mereka di Kampung Alur Limbong.

 Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8 malam dan pergi ke lokasi bersama kekuatan 14 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dan Dungun.

 Menurut Mohd Zailani, pihaknya telah melakukan pencarian dengan menggunakan kaedah “Fan Searching“ melibatkan radius kawasan pencarian seluas satu kilometer persegi.

 “Kita turut mendapat bantuan daripada penduduk kampung yang turut serta dalam pencarian itu dan apa yang menjadi kebimbangan kita pada masa itu ialah keadaan di situ gelap dan air pasang ketika itu, “ katanya.

 “Kedua-dua budak itu dijumpai berpelukan pukul 9.45 malam di atas sebatang pokok bakau pada ketinggian dua meter dari aras air, kira -kira 800 meter dari lokasi selipar dan seluar milik mereka ditemukan.

 “Kanak -kanak tersebut dikatakan memanjat pokok bakau kerana paras air naik sehingga dua meter  akibat air pasang dan ketika ditemui kedua - dua mereka berada dalam berpelukan kerana kesejukan,” katanya.

  Sementara itu nenek mangsa, Rogayah Ibrahim,60, berkata, dia sekeluarga cemas apabila dua beradik itu hilang, apatah lagi sepasang selipar dan seluar yang dipakai mereka ditemukan di tebing.

“Ketika itu, luluh hati saya bila melihat selipar dan seluar cucu saya berada disitu. Saya mula fikir kedua-dua cucu saya itu sudah lemas, “ katanya.

 Ibu saudara kanak-kanak itu, Roslinda Zakaria ,39, pula memberitahu, ketika pihak bomba dan penduduk kampung sedang mencari dua beradik itu, dia dan adiknya turut membantu sehinggalah dia terdengar tangisan yang membawa kepada penemuan mereka.

 Dia mengarahkan adiknya yang turut serta dalam pencarian itu menuju ke arah suara kanak -kanak tersebut dan berasa sangat lega apabila adiknya berjaya membawa mereka keluar.

 Mereka hanya mengalami calar -calar di kaki dan telah dihantar untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka oleh pasukan penyelamat. - UTUSAN ONLINE