Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, sejak Jun lalu, sebanyak 12 buah telah diperiksa untuk tindakan susulan pihak pengurusan institusi pengajian itu di setiap daerah di negeri ini.

“Berdasarkan pengamatan kami, kesemua institusi yang diperiksa berkenaan menepati spesifikasi JBPM namun, memerlukan sedikit penambahbaikan dari segi laluan keluar keselamatan yang tidak menepati syarat digariskan serta sistem keselamatan kebakaran yang longgar.

“Sistem keselamatan kebakaran ini antara lain merangkumi alat pemadam api, lampu kecemasan serta papan tanda keluar dan perkara ini boleh disediakan oleh pihak sekolah dengan cara mengemukakan plan bangunan kepada kita untuk tujuan pemeriksaan dan proses keperluan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di Maahad Tahfiz Ar-Rahmah, Sungai Kiat di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Maahad Maahad Tahfiz Ar-Rahman, Mustaffa Said.

Terdahulu, pasukan JBPM Terengganu turut memberi taklimat kepada warga tahfiz itu yang terdiri daripada 48 pelajar dan enam guru serta warden.

Azlimin berkata, pihaknya berpuas hati dengan sistem keselamatan di maahad itu sekali gus memuji inisiatif pihak sekolah yang tampil meminta agar bangunan tersebut diperiksa.

Sementara itu, Mustaffa berkata, selepas ini pihaknya akan melakukan susun atur semula perabot di premis berkenaan atas nasihat Bomba.

“Kekurangan yang dikenal pasti hanya dari segi susun atur almari di biliźk manakala dari segi bilangan pemadam api yang ada ketika ini lebih daripada mencukupi iaitu sebanyak 16 biji,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE