Program selama tiga hari itu yang berlangsung di Taman Tamadun Islam di sini dengan penglibatan 70 vendor perkahwinan, berakhir hari ini.

Berkonsepkan pusat sehenti, ia memudahkan bakal pengantin mendapatkan pelbagai keperluan mereka bagi mengatur perancangan dan persiapan menempuh detik bersejarah, melangkah ke alam kehidupan baharu.

Pengurus program, Roslina Zakaria berkata, kalangan vendor menawarkan pelbagai promosi pakej perkahwinan, khusus untuk bakal raja sehari dari Kelantan, Pahang dan negeri ini.

“Para pengunjung berpeluang melihat dekorasi busana pengantin yang boleh memberikan ilham untuk majlis mereka kelak,” katanya di sini hari ini.

Bazaar Kahwin Pantai Timur 2018 d dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Abd. Rahman malam tadi.

Roslina berkata, antara vendor yang mengambil bahagian ialah butik pengantin, penyedia katering, fotografi dan videografi, pelukis inai tangan, pembekal kad jemputan perkahwinan dan cenderamata.

Turut serta ialah jurusolek-jurusolek tersohor yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik pada hari penting pengantin.

“Kita juga adakan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pertunjukan fesyen dan busana pengantin serta persembahan pencak silat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Video oleh FARID JANUDIN