Daripada jumlah itu, seramai 377 kanak-kanak TPK yang berusia empat tahun ke bawah bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus diraikan hari ini dalam Majlis Penyampaian Sijil Hafazan Muqadam 23 Surah Lazim 2016 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini.

Sejurus selesai menghafaz muqadam 23 surah lazim, maj­lis diserikan dengan beberapa persembahan oleh kanak-kanak itu yang ternyata menarik perhatian umum.


Video oleh AZLAN BAHARUM

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap komitmen Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)menguruskan taska di negeri ini termasuk Taska Permata.

“Sejumlah RM20 juta setahun diperuntukkan bagi tujuan itu agar kanak-kanak dapat diasuh dengan sempurna melalui pe­ngurusan yang lancar,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Gha­zali Taib.

Yang turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Menurutnya, pada masa ini YPKT mempunyai 65 buah Taska Permata Keluarga, sekali gus menjadikan YPKT satu-satunya agensi kerajaan negeri yang mengendalikan jumlah taska terbanyak di negara ini.

Sementara itu, Mohd. Sha­faruddin dalam ucapannya ber­kata, sejak program itu dilaksa­nakan pada 2008 sehingga kini seramai 7,165 kanak-kanak berjaya menghafaz 23 surah lazim.

“Pada masa ini terdapat 194 buah taska di Terengganu yang terdiri daripada 129 taska swasta dan 65 Taska Permata Keluarga yang disertai seramai 4,019 kanak-kanak berumur tiga bulan hingga empat tahun,” jelasnya.