Dalam majlis yang mengangkat prestij anugerah seumpama itu kepada warga media di peringkat negeri, Ketua Biro Terengganu, Wan Zulkifli Wan Yaacob dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kewartawanan.

Pemilihan beliau oleh EPIC, anak syarikat kerajaan negeri yang menjadi peneraju dalam industri berkaitan petroleum dan gas itu dibuat berdasarkan
 komitmen dan sumbangan dalam dunia kewartawanan di negeri ini.

Terdahulu, Wan Zulkifli yang membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,500 memenangi kategori Media Cetak & Portal Berita Online (Berita dan Rencana Terbaik) manakala Mohd. Iswan Shafiq Mat Isa yang kini bertugas di ibu pejabat di Kuala Lumpur di tempat kedua.

Jurufoto Utusan, Azlan Bahrum pula memenangi tempat pertama kategori Fotografi Terbaik dan kesemua mereka membawa pulang wang tunai RM1,500 bagi tempat pertama dan RM1,000 (kedua) beserta sijil penghargaan dan hamper.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Wan Abd. Rahman Wan Hayat.

Sementara itu, tempat ketiga kategori Media Cetak & Portal Berita Online (Berita dan Rencana) diraih wartawan Unit Komunikasi Negeri, Suriati Ali.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu mengunguli tempat pertama dan kedua kategori Media Elektronik di samping wartawan sambilan Astro Awani, Yusof Mohd. Ali (ketiga). - UTUSAN ONLINE