Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, inisiatif di bawah pemantauan Pusat Peranca­ngan Strategik dan Pengurusan Kualiti (SPaQM) itu sejajar untuk memastikan Unisza terus me­ngorak langkah ke pentas dunia menerusi galakan aktiviti-aktiviti yang dapat memartabatkan kua­liti persekitaran dan kewibawaan institusi berkenaan.

Katanya, antara aktiviti yang bakal mendapat suntikan menerusi strategi tersebut adalah penajaan program mobiliti antarabangsa di samping penyediaan insentif khas bagi penerbitan berimpak tinggi dan kerjasama penyelidikan bersama universiti terkemuka dunia.

“Aktiviti lain termasuk penerbitan bersama penyelidik antarabangsa, program kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pemerkasaan pusat kebolehpasaran dan keusahawanan pelajar melalui pelantikan penasihat kerjaya serta pemerkasaan promosi pendidikan dan penyelidikan berfokus.

“Segala strategi ini merupakan sebahagian daripada persediaan Unisza ke arah menghadapi penilaian penarafan QS World University Ranking pada tahun 2020, sekali gus kita bakal mendapat penanda aras baharu dalam menentukan keberadaan di peringkat global,” katanya ketika berucap dalam Majlis Syarahan Tahunan Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Staf di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini semalam.

Yang hadir sama, Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor.

Dalam majlis itu, dua penyelidik Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Unisza, Prof Dr. Che Abdullah Abu Bakar dan Roslan Arshad bersama kakitangan perpustakaan, Rosnorzaini Rusli meraih Anugerah Kecemerlangan Khas manakala 124 kakitangan lain menerima Anugerah Per­khidmatan Cemerlang.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi memberitahu, selaras untuk melestarikan kecemerlangan universiti yang diraih sebelum ini, Unisza berhasrat menjadikan 2018 sebagai tahun pemerkasaan akademik, penyelidikan, pelajar dan komuniti melalui pelbagai usaha dalam menyahut cabaran era Revolusi Industri 4.0.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Hospital Pengajar Unisza yang dibangunkan sejak 21 Mac 2016 dengan kos RM600 juta kini mencapai 25 peratus dan kemajuan pembinaanya adalah dua peratus lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Katanya, kerja-kerja pembinaan hospital setinggi enam tingkat di tapak seluas 12 hektar itu dijangka siap pada pertengahan 2020.

“Dakwaan bahawa projek hospital pengajar tidak dilaksanakan seperti yang dirancang tidak berlaku di sini. Kami sentiasa berhubung dengan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor bertugas, dan berdasarkan mesyuarat bulan pada dua minggu lepas menunjukkan tidak berlaku sebarang kelewatan.

“Pengambilan kumpulan pertama kakitangan akan dibuat pada tahun depan membabitkan seramai 70 orang dalam pelbagai jawatan,” katanya.