Institusi pengajian tinggi tempatan itu mula memasuki kawasan yang terbiar sekian lama dan terdedah kepada kerosakan, dengan menjadikan dua blok asrama di Taman Ilmu itu bagi dijadikan kolej kediaman para pelajarnya yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini.


Kerajaan negeri membenarkan pihak UniSZA mengguna pakai kemudahan dua blok di Taman Ilmu tanpa sewaan selama 10 tahun dengan kesediaan institusi itu menampung kos baik pulih yang difahamkan kemungkinan mencecah hampir RM20 juta.


Yang hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian itu, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohamad Nur; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emiritus Datuk Dr. Kamarudin Husin dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.


Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamad; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Datuk Mohd. Rizon Juhari dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Hanisah Tapsir.


Terdahulu, Ahmad Razif bersama Idris menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) penyerahan asrama Taman Ilmu itu antara kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dengan UniSZA oleh Ahmad Zubaidi.


Buat permulaan, satu blok asrama akan dibuka yang akan menempatkan 250 pelajar lelaki Ahad ini kerana peruntukan awal sebanyak RM10 juta yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membaik pulih dan menyediakan kelengkapan di kedua-dua blok bangunan tidak mencukupi.


Taman Ilmu yang dibina pada tahun 2004 dengan kos lebih RM300 juta di kawasan seluas 280 hektar terbiar sekian lama dan banyak kelengkapannya sudah rosak atau dicuri.


Ekoran kos baik pulih yang begitu tinggi, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ahmad Razif memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan peruntukan dengan mengambil pendekatan urusan itu ditanggung oleh institusi yang berminat dengan pengecualian sewa dalam tempoh tertentu.-UTUSAN ONLINE