Program peringkat kebangsaan yang dirasmikan di kampus UMT malam tadi melibatkan pelajar yang mewakili 68 buah sekolah menengah berasrama penuh, dan dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi negeri,A. Latif Awang, dalam ucapannya yakin program di Pulau Bidong itu yang dirangka bersama Kementerian Pendidikan dapat menyemarakkan lagi usaha melahirkan barisan ilmuan dan pemimpin pelapis yang cukup peka dengan persoalan alam sekitar dan sains marin.

“Segala bakat dan potensi para pelajar patut dibangunkan dengan efektif, terancang agar mereka menjadi generasi pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idea, kritis dan kreatif mencakupi pelbagai lapangan kehidupan.

“Tanpa minat dan ilmu berkaitan Sains Marin ini bagaimana negara kita boleh menghasilkan lebih banyak modal insan termasuk pemimpin dan penggerak lainnya untuk membantu kerajaan memelihara dan memulihara kelestarian pengurusan sumber laut negara,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar ketika ditemui berkata, penganjuran ini membolehkan perkongsian ilmu berkaitan alam sekitar dapat dipindahkan kepada pelajar.

“Segala pembelajaran kemudiannya dipraktikkan bagi memastikan proses mengenali alam sekitar ini dapat dihayati secara berkesan.

“Segala input yang diperoleh sepanjang kursus ini boleh dibincangkan secara saintifik agar dapat membentuk satu kumpulan yang dinamik dalam meneruskan kelangsungan terhadap pemeliharaan alam sekitar kelak. - UTUSAN ONLINE