Ini melibatkan dua daripada Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran iaitu Sarjana Sains (Forensik Alam Sekitar) dan Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) di samping Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) di bawah Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, bagi program Sarjana Sains Forensik Alam Sekitar, tempoh pengajiannya selama setahun setengah dengan pengambilan pelajar pertama antara 15 hingga 20 orang.

Beliau memberitahu, bagi program Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Sains Komputer masing-masing melibatkan pe­ngambilan antara 40 hingga 60 pelajar.

“Tempoh pengajian bagi prog­ram Sarjana Sains Forensik Alam Sekitar adalah selama setahun setengah manakala bagi Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Komputer selama tiga setengah tahun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMT ke-16 di Dewan Sultan Mizan, di sini, semalam. Majlis pembukaan disempurnakan Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.

Seramai 2,970 graduan terdiri daripada penerima sijil peringkat doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma membabitkan sembilan fakulti diraikan dalam majlis berkenaan.

Nor Aieni berkata, dengan adanya tambahan program itu diharap mampu melonjakkan lagi nama universiti ke peringkat yang lebih tinggi.

“Harapan kita adalah untuk memastikan UMT terus relevan dan bersaing dengan universiti-universiti lain dalam melahirkan graduan yang berkualiti mengikut keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian tentang hasrat UMT untuk menambah kema­sukan pelajar asing pada masa depan untuk menjana lebih pendapatan selain meningkatkan peranannya di persada dunia.

“Apabila penambahan program pasca siswazah, lebih ramai pelajar luar negara dapat menimba ilmu di UMT, sekali gus turut menyumbang kepada pendapatan universiti,” ujarnya.