Pengerusi Lembaga Penge­lola UCB, Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, usaha itu akan membolehkan kolej universiti itu menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah mampu memikul tanggungjawab sebagai imam muda, usahawan dan pemim­pin berwibawa.

Beliau memberitahu, ia juga sejajar dengan visi baharu UCB untuk melahirkan graduan yang serba boleh dalam pelbagai bidang kemahiran selain mampu menjadi pemimpin agama yang disegani suatu hari nanti.

“Mulai tahun depan, 2019 kita akan tukar misi serta visi UCB ke arah holistik demi kebahagiaan serta kejayaan seimbang dunia dan akhirat. Maknanya kita akan lahirkan imam-imam muda, usahawan dan pemimpin berwibawa dalam kalangan pelajar yang mempunyai potensi.

“Kita mahu graduan kita nanti bukan saja cemerlang dalam akademik malah juga berani dalam berpidato dan sebagai­nya. Ini penting kerana tak guna keluarkan graduan tapi nak bercakap pun takut,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen UCB Ke-5 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini lewat petang semalam yang disempurnakan oleh Pro Canselor UCB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Yang turut hadir, Pro Canselor UCB, Datuk Wan Ismail Wan Jusoh; Naib Canselor UCB, Prof. Dr. Sakri Ibrahim serta lain-lain anggota lembaga pengelola kolej universiti itu berkenaan.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 464 graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma serta sijil atau asasi masing-masing yang disampaikan oleh Alimuddin.

Mengulas mengenai imam muda, Tengku Mahmud berkata, mereka ini akan dicungkil berdasarkan beberapa kriteria termasuk berjaya khatam al-Quran yang kemudiannya diberi latihan khusus untuk menjadi imam pelapis di surau-surau serta masjid.

Menurutnya, pelajar yang berminat termasuk dalam bidang keusahawanan dan kepemimpinan boleh mengikuti kursus yang disediakan bagi mendapatkan sijil yang diperakui sebelum bergelar imam muda, usahawan atau pemimpin suatu hari nanti.