Pengerusi Lembaga Pe­ngelolanya, Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, kesemua graduan itu berjaya menghabiskan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) dengan kepujian.

“Di samping itu, kita melahirkan lapan graduan sarjana iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan salah seorang daripadanya merupakan warga emas berusia 67 tahun,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen Ke-3 yang disempurnakan oleh Canselornya, Tan Sri Samsudin Osman.

Yang hadir sama, Pro-Canselor UC Bestari, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Datuk Wan Ismail Wan Yusoh serta Naib Canselor, Prof. Dr. Abdul Aziz Yusof.

Dinaik taraf menjadi sebuah institusi pengajian tinggi swasta pada Ogos 2012, UC Bestari yang bertapak di Setiu yang awalnya dikenali sebagai Kolej Teknologi Bestari, menapak kukuh dengan mula menawarkan program di peringkat doktor falsafah.

Secara keseluruhannya, seramai 431 gra­duan menerima dip­loma dan ijazah masing-ma­sing dengan lapan daripadanya dianugerahkan sarjana, 70 sarjana muda diikuti diploma (352).

Buat julung kalinya, UC Bestari memperkenalkan Anugerah Kehormat Ijazah Sarjana Dalam Bidang Perniagaan yang diberikan kepada pemilik syarikat penerbitan buku dan drama terkemuka, Datuk Seri Wan Mohd. Muzri Ramli yang juga merupakan alumni universiti tersebut.

Penganugerahan itu mengiktiraf kejayaan beliau dalam bidang penulisan dan penerbitan novel tempatan sehingga mampu memiliki empat syarikat terma­suk dua syarikat penerbitan buku iaitu Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd. dan Penulisan2u Sdn. Bhd. serta syarikat penerbitan drama serta muzik.

Dalam majlis itu, graduan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Wan Sharida Fazreen Wan Jusoh dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Pengerusi Eksekutif manakala Anugerah Graduan Terbaik pula diraih Fahim Najdah Abdul Razak (sarjana muda), Amira Nasuha Abd. Jamil (diploma) dan Wan Azie Yusrina Farida Wan Yusoff (asasi pengurusan).

Tengku Mahmud berkata, UC Bestari telah mengeluarkan biasiswa kepada 560 pelajar yang mengikuti program asasinya membabitkan perbelanjaan berjumlah RM5.6 juta.