Sumbangan berupa baju, seluar, kain, tudung, kasut, stokin dan alat tulis itu diserahkan oleh Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB negeri, Mohd. Nazri Puteh kepada ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang turut hadir dalam program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka di sini hari ini, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad; Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd. Adnan Salleh dan Guru Besar SK Gong Nangka, Sukni Hisham.

Bercakap kepada Utusan Online, Mohd. Nazri berkata, tahun ini seramai 400 pelajar miskin daripada dua buah sekolah di negeri ini iaitu SK Gong Nangka dan SK Teluk Pasu dipilih untuk menerima sumbangan di bawah program CSR TNB membabitkan perbelanjaan RM64,000.

“TNB adakan program seperti ini setiap tahun di seluruh negara mengikut kriteria sekolah terpilih dengan meminta kerjasama pihak sekolah memilih pelajar yang layak kalangan keluarga miskin, setiap pelajar menerima sumbangan bernilai RM160,” katanya dalam majlis itu.

Menurutnya, selain program Kembali Ke Sekolah, TNB juga akan meneruskan program CSR lain untuk membantu golongan yang memerlukan termasuk Baiti Jannati dengan membina rumah untuk keluarga miskin.

“Pendekatan melalui program CSR TNB ini dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan terutama ketika berhadapan dengan perbelanjaan kos sara hidup yang semakin tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapan, Sulaiman turut mengalu-alukan pendekatan TNB sambil menyifatkannya satu usaha murni yang mampu memberi kelegaan kepada keluarga miskin.

“Saya harap program seperti ini akan diteruskàn pada masa akan datang, bukan saja dari segi bantuan kelengkapan persekolahan, tetapi juga melibatkan bantuan untuk kecemerlangan dan aktiviti di sekolah. - UTUSAN ONLINE