Ramai tidak menyedari bahawa akta baharu yang diluluskan pada 2015 itu juga ada menyebut sekiranya pemilik ternakan terbabit didapati gagal membayar denda, mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.

Perkara ini didedahkan Pe­ngarah Jabatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali ketika menjawab soalan peserta dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim di peringkat Parlimen Marang, di sini semalam.

Mohd. Termizi Ghazali
MOHD. TERMIZI GHAZALI

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali dan Pegawai Pertanian Daerah Marang, Zainun Jusoh.

Majlis itu juga disertai golongan nelayan, petani, penternak dan penggiat industri asas tani.

Mohd. Termizi berkata, tindakan itu mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai kejam, namun pemilik ternakan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menjaga ternakan masing-masing agar membesar dengan sempurna.

Katanya, jabatan veterinar kini sedang membuat kajian bersama Mardi Serdang ke arah melaksanakan kaedah menandakan semua ternakan peliharaan termasuk lembu, kerbau, kambing dan kucing dengan menggunakan tag khas.

Sementara itu, Azman ketika mengulas perkara itu membe­ritahu, pihaknya sedang mengenal pasti berapa banyak padang ragut yang diperlukan di seluruh negeri ini mengikut pe­wartaan tanah yang ada.

“Kita sedang membuat pemutihan semula kerana berdasarkan tinjauan mendapati ada pencerobohan ladang sawit melibatkan pajakan untuk integrasi sawit dan ternakan lembu.

“Asalnya pajakan tanah selama 20 tahun hendak buat integrasi, namun selepas diperiksa, bukan lembu, najis lembu pun tiada. Mereka, mohon pajakan tanah hendak buat padang ragut tetapi setelah dapat, mereka tanam sawit,” katanya.

Mengenai ternakan berkelia­ran pula, Azman meminta setiap pemilik ternakan supaya mempunyai kesedaran sivik serta tahu mengenai dosa dan pahala berkaitan memelihara lembu.

“Kita kesal kerana terdapat ramai penternak lembu terutamanya yang langsung tidak menghiraukan ternakan mereka. Malah tidak sediakan kandang dan hanya menjenguk seminggu sekali,” katanya.