Pekan dengan pasar baharu yang disiapkan pada 2016 bagi merancakkan kegiatan ekonomi tradisional penduduk berada di tengah laluan menghala Hulu Terengganu di samping berhampiran jajaran Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menjadi satu lagi pintu masuk ke daerah ini dan bandar raya Kuala Terengganu.

Dari segi politik, kawasan yang menempatkan kira-kira 95 peratus penduduk Melayu manakala selebihnya Cina dan lain-lain kaum menjadi saingan dua parti utama teras Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Dua penggal berturut-turut, kerusi DUN Bukit Payung dikuasai oleh Pas, namun ia tidak boleh dianggap sebagai kubu kuat parti pembangkang itu kerana beberapa calon UMNO seperti Datuk Dr. Abdul Latiff Awang dan Allahyarham Mazlan Awang sebelum ini pernah menang di kawasan tersebut.

Kedua-dua parti politik itu mempunyai pengaruh yang hampir seimbang jarak pemisah antara menang dan kalah bagi setiap parti cuma dengan majoriti yang kecil dan dilihat banyak ditentukan oleh faktor calon serta masalah dalaman setiap parti selain sena­rio politik semasa.

Namun Pegawai Penyelaras DUN Bukit Payung, Mohamad Nor Endot yakin kali ini UMNO dan BN mempunyai kelebihan bersandarkan beberapa faktor termasuk perpaduan parti yang semakin baik di samping fokus yang diberikan oleh kepemimpinan parti untuk terus membangunkan kawasan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Apatah lagi berlaku perpecahan dalam parti lawan dan senario politik semasa yang dicorakkan, memperlihatkan pengundi bukan Melayu tidak lagi terarah sokongan mereka kepada parti itu,” ujarnya.

Walaupun kerusi DUN Bukit Payung dimenangi calon Pas sejak dua penggal lalu tetapi ini tidak membatas usaha UMNO untuk terus berperanan menerajui usaha ke arah meningkatkan kese­jahteraan hidup rakyat.

“Kemenangan Pas tidak menjadikan sempadan memisahkan UMNO dengan rakyat kerana apalah yang boleh disandarkan kepada dengan parti itu selain keupayaan wakil rakyatnya berceramah dan mengkritik.

“Pemimpin di semua peringkat sentiasa bekerja keras turun padang dengan mengadakan pelbagai program aktiviti melibatkan setiap lapisan masyarakat, dan inilah yang seharusnya dilakukan.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkenaan beberapa projek pembangunan di kawasan Bukit Payung tetap dilaksanakan antaranya PSKT dan Pasar Kedai Buloh yang kini telah beroperasi.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan Projek Perumahan Rakyat dan sebuah Dewan Orang Ramai manakala yang dalam pe­rancangan ialah Hospital Daerah Marang.

Mohamad Nor yang juga merupakan Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Marang dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah berkata, keyakinan rakyat semakin mening­kat, apatah lagi mereka merasakan sudah tidak lagi ‘bersalah' jika meninggalkan Pas dalam PRU-14.

“Sebagai orang yang diamanah­kan memikul tanggungjawab sebagai pegawai penyelaras, saya berusaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira parti dan memahami kehendak mereka.

“Juga mendekati penyokong pembangkang dan pengundi atas pagar. Setakat ini reaksi diberikan amat bagus,” katanya yang pernah berkhidmat lebih 20 tahun dengan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Malaysia Airport Berhad.

Beliau berkata, kerusi DUN Bukit Payung perlu ditawan semula daripada Pas agar pembangunan di kawasan ini boleh dilaksanakan secara lebih berkesan dan sistematik dengan jalinan hubungan yang lebih mudah de­ngan negeri dan Pusat.

“Pembangunan di Bukit Payung selepas ini perlu ditumpukan secara holistik yang mampu memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber ekonomi kepada masyarakat setempat,” jelas beliau.

Pada masa yang sama katanya, pembinaan perumahan rakyat dapat diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, khususnya golongan muda mampu memiliki rumah sendiri, dan ini boleh memnjadi kenyataan lebih cepat.