Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, program sebegini dapat dijadikan medan memberi bimbingan tentang penunggang berhemah dan mengurangkan gejala negatif berkait dengan kegemaran itu.

“Bagi JPJ, kita hendak mendekati masyarakat dengan jumlah yang ramai, ini adalah salah satu caranya, lebih ramai yang datang menyaksikan, lebih banyak mesej yang kita boleh sampaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pertunjukan motosikal sempena TIBM di Pulau Warisan, dekat sini kelmarin.

Hadir sama Presiden Gabungan Pemotoran Negeri Terengganu, Tengku Sri Temenggong, Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud.

Program selama tiga hari bermula 25 hingga 27 November yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berjaya menghimpunkan pa­ra pemilik dan peminat motosikal termasuk dari Thailand dan Singapura.

Antara acara menarik yang disu­sun termasuk pertunjukan aksi lasak, bunyi ekzos paling kuat, cat air, retro dan klasik, konvoi motosikal berkuasa tinggi serta cabutan bertuah berupa motosikal Yamaha 125Z serta topi kele­dar J Force.

Proram yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Terengganu Riders Group dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu.

Penglibatan begitu ramai peserta membantu mencapai objektif penganjuran program iaitu untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 selain menggalakkan gaya hidup sihat.