Pengarah JPNT Shafruddin Ali Hussin berkata, langkah itu adalah bagi mengutamakan murid yang terdiri daripada warganegara mempunyai tempat di sekolah kebangsaan sebelum memberi laluan kepada murid bukan warganegara.

"Kita perlu mengutamakan murid tempatan terlebih dahulu, tetapi kita akan memberi peluang penempatan pembelajaran untuk mereka (murid bukan warganegara) jika keluarga boleh mengemukakan dokumen seperti yang telah ditetapkan dalam SOP.

"Keluarga angkat perlu berusaha mendapatkan dokumen berkenaan dengan apa cara sekali pun jika ingin menyekolahkan murid tersebut, dan ini bukanlah kes pertama yang melibatkan perkara sebegini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shafrudin mengulas dilema dihadapi ibu bapa angkat Nurul Jannah, Junainah Othman, 40, dan suaminya Zulkifli Yunus, 45, dari Kampung Ibai Penunjuk, Dungun, untuk menyekolahkannya berikutan tidak mempunyai pasport dan surat nikah ibu bapa kandung Nurul Jannah.

Nurul Jannah merupakan anak kepada pasangan pendatang asing tanpa izin (PATI) berasal dari Indonesia dan Bangladesh.

Menurut Shafruddin lagi, sebelum ini terdapat kes sama berlaku yang mana ibu bapa angkat terpaksa membawa anak angkatnya pulang ke negara asal untuk mencari ibu bapa kandung mereka bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan dan telah diberi penempatan persekolahan oleh JPN di sekolah kerajaan setelah mereka berjaya mendapatkan dokumen terbabit. - BERNAMA