Beliau berkata, mereka perlu meneruskannya ketika kemudahan melalui teknologi maklumat dan komunikasi ini banyak disalahgunakan oleh pelbagai pihak untuk menyebarkan, fitnah, kebencian, keresahan dan pelbagai perkara negatif yang mudah pula diyakini umum.

"Saya faham kita sebenarnya berperang di alam maya, jadi di sinilah saya berharap para pengamal media boleh memainkan peranan masing-masing termasuk bersama kerajaan dalam mencorak masa depan negeri dan rakyat ke arah lebih baik dan mencipta lebih banyak cerita kejayaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong semasa merasmikan Majlis Anugerah Media Kreatif Transformasi Terengganu Baharu (TTB) 2017 di Wisma Darul Iman, di sini malam tadi.

Yang hadir sama,  Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Unit TTB, Che Mansor Che Kerma.

Program julung kali anjuran TTB sebuah unit di Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri bagi menghargai komitmen pengamal media cetak dan elektronik dalam membantu menjayakan agenda TTB.

Tempat pertama bagi Kategori Online Terbaik dimenangi oleh Baharum Bakar dengan paparan Fosil Dinasour Ditemui Di Hulu Terengganu  manakala Kategori Video Terbaik oleh Yusof Sobri Awang Taufik Adnan (Lokan Kampung Laut) dan Kategori Berita/Rencana oleh Rosli Zakaria (Promosikan Inovasi Di Sekolah) sementara Harish Fayzillah Abu Kasim bagi Kategori Foto. - UTUSAN ONLINE