Mukhatar A. Rahman yang baharu menjalani pembedahan kaki akibat penyakit kencing manis menerima layanan istimewa itu bermula dari kawasan letak kereta hingga ke tempat duduk jemputan, sejauh kira-kira 300 meter.

Dia merupakan satu-satunya pengamal media dalam kalangan 29 penerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim.

Mukhatar yang terharu dengan bantuan yang diberikan warga IPD kemaman turut menitiskan air mata sebaik sahaja namanya dipanggil menerima sijil penghargaan itu.

“Ini bukan kali pertama saya menerima sijil penghargaan dari IPD Kemaman sejak menyertai Utusan Malaysia/Kosmo sejak tahun 2013.

“Memandangkan baharu tiga hari keluar hospital, saya meminta (melalui kiriman WhatsApp) jasa baik Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah agar menyediakan tempat letak kereta berhampiran dengan IPD dan tidak sangka disambut sepasukan anggota BSPT yang kemudian terus menolak saya ke tempat duduk.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah dan seluruh warga IPD Kemaman atas layanan mesra ini,” katanya selepas majlis itu.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman, Osman A. Bakar. - UTUSAN ONLINE