Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim aberkata, skim tersebut dalam bentuk pinjaman tanpa faedah akan diuruskan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Kita memilih LPP memandangkan agensi ini mempunyai rangkaian di seluruh pelosok negeri dan ini akan memudahkan pemohon yang ingin membuat pinjaman,” katanya.

Dr. Azman memberitahu demikian kepada Utusan Online ketika ditemui selepas Majlis Dialog Bersama Exco Pertanian peringkat Parlimen Marang di Dewan Semarak, Pantai Peranginan Kelulut, di sini, petang ini.

Yang turut hadir , Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali,;Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr. Mohd Termizi Ghazali dan Pegawai Pertanian Daerah Marang, Zainun Jusoh.

Menurut Dr. Azman, usaha kerajaan negeri mewujudkan skim bantuan Dana Tani setelah mengambil kira isu rakyat yang ingin memulakan dan mengembangkan usaha tetapi berhadapan dengan kekangan kewangan.

“Oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan skim bantuan ini. Dari segi jumlah dana yang akan disuntik ini akan diumumkan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pembentangan Bajet 2019 nanti”, katanya.

Mengenai jumlah pinjaman yang bakal diluluskan kepada pemohon, Dr .Azman memberitahu, ia bergantung kepada saiz dan bidang apa yang ingin diusahakan.

“Begitu juga dengan pembayaran balik, ia akan dinilai mengikut kemampuan setiap pemohon.

“Saya percaya skim bantuan dana ini nanti banyak memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini”, jelasnya. - UTUSAN ONLINE