Inisiatif kerajaan negeri dengan kempen Sekampit Beras Untuk Rohingya itu disasarkan mencecah RM1 juta dalam waktu yang singkat, dan difahamkan hampir RM600,000 sudah terkumpul.

Langkah yang memberi ruang seluruh rakyat negeri ini terutamanya untuk menyumbang bagi menggerakkan usaha penyaluran bantuan kepada lebih 400,00 etnik minoriti Islam itu yang menjadi pelarian di Bangladesh.

“Ini soal kemanusiaan sejagat, bukan sahaja soal umat Islam yang menggerakkan hati saya untuk mencadangkan penubuhan tabung dan menjayakan misi kemanusiaan ini, selaras dengan perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam isu ini.

“Dulu pelarian Vietnam pernah kita berikan Pulau Bidong unhtuk berlindung daripada kekejaman sebelum mereka memulakan kehidupan baharu ke negara-negara lain,”ujarnya.

“ Kalau orang bukan Islam kita bantu atas nama kemanusiaan sejagat, inikan pula orang orang Rohingya, memanglah wajar Terengganu yang bergelar Darul Iman mengambil daya usaha ini,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Ahmad Razif berpuas hatinya atas sambutan awal yang diberi oleh semua pihak bagi mengisi tabung itu sejak kempen digerakkan pada 19 September lalu.

“Sehingga ini sambutan luar biasa, daripada pelbagai kalangan, termasuk daripada individu,, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, swasta melalui kutipan dalam pelbagai program dan majlis, malah tabung turut diadakan di Jom Heboh anjuran TV3, hari ini untuk orang ramai menderma itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE