Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah insentif yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu, sebanyak RM1.5 juta adalah bagi  mereka yang mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi/asasi dan diploma  sesi 2018/2019.

Katanya, proses pengagihan tersebut dilakukan di peringkat daerah bagi memudahkan urusan penerimaan bantuan membabitkan 1,099 pelajar matrikulasi/asasi di samping diploma (1,305 orang).

“Bagi daerah Besut dan Setiu, majlis pengagihan kepada 485 pelajar telah diadakan semalam di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu manakala Kemaman dan Dungun melibatkan seramai 670 pelajar dengan peruntukan RM419,400, pada hari sebelumnya.

“Hari ini penerima bantuan adalah seramai 1,249 orang daripada empat daerah dengan perbelanjaan sebanyak RM808,950, dan kerajaan negeri agar benar-benar memanfaatkan sumbangan ini untuk persiapan ke IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan Pelajar YT Bagi Peringkat Matrikulasi/Asasi dan Diploma Sesi Pengajian Mei/Jun 2018 Parlimen Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat;  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Mohamad Wan Ibrahim serta Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamudin Hashim. 

Kadar bantuan persediaan mengikut kategori iaitu RM1,000 (ijazah), RM750 (diploma) dan RM500 (sijil dan matrikulasi) manakala penambahan RM300 untuk IPT di Sabah dan Sarawak.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, bantuan sama akan diteruskan lagi bagi kemasukan ke  peringkat ijazah yang dijangka diadakan pada September depan.

Dalam urusan itu, beliau meminta pihak YT untuk melakukan penambahbaikan kepada proses permohonan dan pengagihan sumbangan kepada pelajar yang layak.-UTUSAN ONLINE