Shafruddin Ali Hussin

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian kali ini ternyata lebih baik berbanding tahun lepas dengan dominasi lebih menyeluruh, sekali gus memperlihatkan kemenjadian pelajar berkualiti te­rus berkembang di negeri ini.

“Terengganu sebenarnya telah mendahului pencapaian dalam bidang kemenjadian pelajar sejak tiga tahun kebelakangan ini terutama dalam aspek keseimbangan dan bersepadu mengikut tuntutan pasaran kerja serta keperluan pemain global tanpa meninggalkan budaya, sahsiah, nilai dan agama.

“Syabas dan tahniah kepada warga pendidik, ibu bapa yang sentiasa menyokong dan rakan-rakan strategik utama serta kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang sentiasa membantu,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas pencapaian sekolah-sekolah yang mewakili negeri ini dalam maj­lis penyampaian anugerah itu yang berlangsung di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur hari ini.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek Setiu menduduki tempat pertama Pembestarian Sekolah (Smart School Qualification Standards) dengan menggondol hadiah RM10,000, manakala di peringkat negeri berada di tangga ketiga.

SK Mangkok, Setiu muncul sebagai johan Pusat Sumber Sekolah (PSS) Kategori Sekolah Kurang Murid (SKM), manakala SK Padang Mengkuang, Marang naib johan Kategori Sekolah Rendah sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq Besut menjuarai Kategori Sekolah Menengah.

SK Sungai Pergam pula muncul sebagai johan penggunaan teknologi Very Small Aperture Terminals (VSAT) SKM, manakala SMK Rantau Petronas di tempat kedua Kategori Sekolah Menengah.

Ahmad Nazrin Shamsuddin dari Sekolah Menengah Ajil Hulu Terengganu di tangga ketiga bagi kategori Klip Video Sekolah Menengah Atas, manakala enam pelajar menerima hadiah penghargaan Penerbit Muda iaitu Khaleda Irdina Batrisya Harun, Nor Nabihah Alwi, Nur Fitrah Mohamad Zuki, Wong Enzo, Fitratul Islam Mohd Khairul Azman dan Muhammad Akmal Hadib Md Shukri.

APS 2017 memberi peluang kepada warga sekolah mendapat pengiktirafan atas kecemerlangan dan kejayaan dalam pelaksanaan aktiviti Pembestarian Sekolah dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan telekomunikasi dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.