Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu akan melibatkan anak-anak syarikat dalam teras sama, iaitu di sektor perladangan, perhotelan, penjagaan kesihatan dan perumahan agar lebih fokus, berkongsikan kepakaran dan pengalaman.

Katanya langkah ini yang turut menjurus ke arah penjimatkan kos, dan diharapkan memberikan manfaat lebih besar kepada rakyat akan didahulukan dengan sektor perhotelan yang sudah digerakkan dan akan dilaksanakan bila-bila masa apabila urusan itu selesai.

“Bagi sektor perhotelan, lima buah hotel milik kerajaan negeri akan diletakkan di bawah konsortium TI (Terengganu Inc) Hotel & Resort, tidak lama lagi.

“Lima hotel yang terlibat ialah Primula Beach Resort, Permai Inn, Duyong Marina Resort, Hotel Paya Bunga dan hotel baharu yang dalam proses pembinaan di Pulau Poh, Tasik Kenyir,”ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Akademi T­DM dan Pusat Timbang Komuniti di pekarangan Akademi TDM di Kompleks Kilang Sungai Tong, di sini semalam.

Yang Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan, TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd. Nor; dan ADUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar.

Katanya, selepas ini akan disu­suli dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan bertanggungjawab menguruskan perumahan.

“TDM Berhad pula (yang turut mengendalikan perkhidmatan kesihatan) hanya akan fokus kepada bidang perladangan bersama Ladang Rakyat dan Golden Pharos.

“Sememtara itu, Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang berada di bawah TDM sebelum ini akan dikeluarkan dan diletakkan di bawah satu konsortium khusus untuk pengurusan hospital.