Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat memberi contoh pihaknya telah meneliti matlamat asal penubuhan Yayasan Terengganu (YT), Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan mendapati pengurusan pentadbirannya perlu distruktur semula agar objektif penubuhan institusi itu tercapai.

Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat 

Beliau berkata pengurusan pentadbiran Sekolah Menengah Imtiaz dan Maahad Tahfiz Quran Terengganu yang sebelum ini ditadbir YT, akan dikembalikan semula kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"YPKT akan menguruskan penjagaan kanak-kanak di Taska, YIT pula terlibat dengan pendidikan pra sekolah serta Kelas Agama Dan Fardhu Ain (KAFA) manakala YT akan lebih fokus kepada pendidikan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari segi penajaan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama 44 guru baharu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail dekat Batu Rakit di sini hari ini.


SRIDI adalah antara manifesto yang ditawarkan PAS dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu dengan sasaran sebuah sekolah di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu secara berperingkat.


Dalam pada itu Satiful berkata setakat ini Bahagian Pendidikan JHEAT menerima permohonan yang sangat memberangsangkan dari ibu bapa untuk kemasukan murid Tahun Satu ke SRIDI.


"Untuk itu, satu temuduga khas akan dijalankan pada 17 Disember hadapan kerana kita mahu murid yang berkualiti sahaja untuk pengambilan masuk ke SRIDI memandangkan mereka perlu menguasai lebih banyak mata pelajaran termasuk Bahasa Arab berbanding murid sekolah lain," katanya.- BERNAMA