Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan langkah itu sebagai ‘tapak semai­an’ untuk melahirkan modal insan cemerlang berteraskan al-Quran bermula di peringkat usia awal.Katanya, modul pendidikan antara lain akan turut memberi penekanan kepada pembacaan dan hafalan al-Quran selain mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Arab.

“Hasrat itu timbul susulan kejayaan rangkaian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu yang kini menjadi salah satu simbol kecemerlangan pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Ia akan menjadi suatu rantaian, apabila akan turut diwujudkan Sekolah Rendah Imtiaz yang sedang dirancang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Hari Potensi dan Karnival Kemas Terengganu di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin, dekat sini kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Kemas, Hassan Manaf serta Pengarah Kemas negeri, Dr. Faridah Mat.

Dalam majlis itu, Kemas Marang muncul juara keseluruhan selepas mengungguli beberapa kategori yang dipertandingkan dalam Hari Potensi berkenaan.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya akan mengemukakan cadangan terperinci kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam masa terdekat.

Beliau yakin usaha itu dapat digerakkan di bawah pengurusan Kemas kelak dengan cadangan agar tadika itu kelak dapat memberi penekanan dan keutamaan kepada Al-Quran, Bahasa Arab dan Inggeris.

“Pendedahan awal kepada tiga ilmu itu akan menjadikan tadika Imtiaz ini sebagai institusi pelapis untuk murid Sekolah Rendah Imtiaz yang kelak akan ke Sekolah Menengah Imtiaz, jika meneruskan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah,” ujarnya.

Menurut Ahmad Razif, kerjasama strategik sebelum ini pernah dilaksanakan dengan kementerian berkenaan menerusi penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, Dungun yang dirasmikan April lalu.