Sehubungan itu Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah membuat persiapan lebih awal melibatkan hampir 700 atlet yang bakal disaring untuk sekali lagi meletakkan kedudukan negeri sebagai kuasa sukan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, persiapan sudah memasuki fasa kedua bagi memilih hampir 500 atlet Disember depan yang bakal membawa cabaran negeri.

Menurutnya, jumlah itu akan melengkapkan senarai pasukan yang bertanding dalam kesemua acara, dan kemampuan mereka terus diasah mengikut modul lebih mantap dan intensif yang dirancang MSNT.

“Sekiranya perlu, mana-mana acara yang mampu menyumbang pingat emas kepada negeri, kita akan hantar atlet buat persiapan intensif dengan berguru di luar negara.

“Malah, sudah ada atlet Terengganu menjalani latihan di luar negara, dan tidak mustahil kejuaraan keseluruhan mampu dirampas semula jika segala perancangan rapi berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Majlis Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu menjelang Kira Detik Setahun Sebelum Sukma 2018 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi.

Menurut beliau, acara sukan yang dijangkakan mampu menjadi penyumbang utama pingat termasuklah judo, berbasikal, memanah dan menembak.

“Acara kenu masih tidak disenaraikan dalam temasya di Perak kelak, dan kita akan 
 memberi tumpuan kepada sukan baharu untuk dikuasai,”ujarnya.

Dalam majlis itu turut diumumkan ‘bapa angkat’ melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta jabatan kerajaan bagi setiap acara dipertandingkan dalam temasya itu.

Terengganu buat pertama kali menjuarai Sukma pada tahun 2008 ketika menjadi tuan rumah dan dipertahankan sehingga 2012 manakala selaku naib johan pada 2014. - UTUSAN ONLINE