Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, mereka bersama guru akan akan diundang menerima penghargaan daripada Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis, lusa.

“InsyaAllah pada hari sebelum mereka berangkat ke Rusia (bagi memenuhi jemputan), kerajaan negeri juga akan memberikan insentif khas,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu pada penghujung Mei lalu, pasukan SMK Kuala Besut yang diwakili Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd. Ghani dan Safiyyah Muhammad Nasir muncul sebagai juara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika bertitah merasmikan pembukaan sidang DUN semalam menyatakan rasa bangga baginda dengan pencapaian mereka dan turut mengucapkan tahniah.

Mereka berjaya menewaskan 520 murid mewakili 188 pasukan dari 30 negara termasuk negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Ekoran kejayaan itu, pasukan berkenaan dijemput membentangkan projek kesedaran nuklear dalam Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) di Saint Petersburg pada 27 dan 28 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE