HASRY HARUN

Pengarahnya, Hasry Harun berkata, modul yang dihasilkan de­ngan kerjasama Akademi Keretapi Ma­laysia (MyRA) itu kini dalam pe­ringkat pembangunan berpandukan standard yang di­tetapkan Institution of Railway Signal Engineers (IRSE), United Kingdom.

Katanya, kursus jangka pendek dan sederhana dalam tempoh enam bulan itu bakal dijalankan di MyRA di Batu Gajah, Perak sejajar pelaksanaan projek Pusat Kecemerlangan Rel yang dipacu agensi di bawah naungan Kementerian Kewangan itu.

“Sebelum ini latihan bagi kursus isyarat dan komunikasi ha­nya dibuat oleh pihak IRSE yang didatangkan khas dari United Kingdom.

“Dengan inisiatif yang diba­ngunkan itu kami dapat menguruskan secara sendiri meman­dangkan sudah memiliki 12 tenaga pengajar bertauliah menerusi kursus selama empat bulan dengan pihak pembekal luar negara di Portugal baru-baru ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesedaran Kereta Api Kebangsaan dan Pesta Kerjaya di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah PSMZA, Mohd. Pauzi Ibrahim.

Katanya, industri rel yang mencakupi bidang luas dan berkembang pesat di negara ini menuntut usaha pantas bagi mengisi 16,000 keperluan dengan 13,000 daripadanya meliputi lulusan Pen­didikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) manakala baki golongan kolar putih.

Dalam perkembangan sama, Hasry berkata, program keseda­ran seumpama itu telah digerakkan ke institusi pendidikan di zon Utara, Selatan dan Lembah Klang dalam memberi hebahan isu semasa serta perkongsian mengenai perkembangan industri kereta api di samping peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada para pelajar rata-ratanya menunjukkan minat yang tinggi di samping dapat mengikis persepsi cliche terhadap bidang ini sebaik sahaja menyedari industri rel yang kian maju dan moden serta bukan semata-mata perlu bekerja di bawah panas matahari.

“Buat masa ini kami sudah menggerakkan dua program menerusi penghantaran kumpulan pertama seramai 18 orang bagi mengikuti latihan selama tiga bulan di China di samping penghantaran 12 tenaga pengajar bagi menjalani kursus insentif isyarat dan komunikasi ke Portugal,” katanya.