Nawi Mohamad

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad berkata, peruntukan sebanyak RM1.2 juta disediakan bagi tujuan itu oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Beliau berkata, peruntukan itu hanya dikhaskan untuk perniagaan atas talian, melibatkan usahawan berumur antara 21 tahun hingga 35 tahun yang telah menjalankan operasi perniagaan sekurang-kurangnya 12 bulan.

“Pendaftaran bagi menyertai program itu boleh dilakukan dalam talian dengan klik pautan https://goo.gl/CQpnFN dan tarikh tutup pada 3 Mac depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Program TBN diperkenalkan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman Disember tahun lalu dengan sasaran untuk melahirkan seramai kira-kira 150 usahawan belia yang berdaya maju akan mendapat manfaat.

TBN akan dilaksanakan melalui kolaborasi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama semua agensi terlihat dengan keusahawanan termasuk latihan, khidmat nasihat dan pinjaman.

“Bantuan akan disalurkan dalam bentuk peralatan dan kemudahan seperti komputer dan bayaran percuma internet selama enam bulan dengan kadar geran sehingga RM10,000,” katanya.

Nawi yang juga Pengerusi YPU berkata, belia rakyat negeri ini perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan negeri untuk melihat lebih ramai golo­ngan muda terlibat dalam perniagaan dalam talian selari dengan perkembangan ekonomi digital.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Terengganu Hub Digital yang sedang dibangunkan di Kampung Ladang Tok Pelam di sini, berkonsepkan penempatan usahawan rantaian teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) bumiputera dalam satu premis dijangka dibuka Mac depan.

Menurutnya, pembukaan Te­reng­ganu Hub Digital itu memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam satu kawasan sahaja selain menjadi pusat pertemuan usahawan dari seluruh negeri.